Sunday, November 25, 2012

CERPEN : Badai Laut


Badai Laut

Pagi itu langit cerah. Lautan berombak manja. Kelihatan di tepian pantai itu sebatang tubuh sedang menarik pukat ke dalam perahunya yang usang. Jelas kelihatan urat-urat di lengannya yang berkedut seribu .

Sambil mengusap-usap rambutnya yang putih itu, Pak Amad mengeluh halus.

“Malang sungguh nasib diri ini . Isteri sudah tiada, anak pula entah ke mana . Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.“

Seperti kelihatanya sampan Pak Amad itu , begitulah juga dirinya yang sudah menjangkau usia senja . Pak Amad kemudian membelek-belek pukatnya mencari sesuatu yang boleh dibawanya pulang bagi mengalas perutnya dan juga untuk dijualkan di pasar nanti.

Sedang Pak Amad memunggah pukatnya itu dan mengumpulkan beberapa ekor ikan kembung, satu objek terjatuh dari pukatnya lalu kedengaran bunyi yang kuat . Pandangan Pak Amat beralih ke arah bunyi itu .

Mata Pak Amad mengecil memerhatikan objek itu . Perlahan-lahan dia menghampiri objek tersebut . Pak Amad teragak-agak untuk mengambil objek tersebut. Dengan perlahan-lahan, dia mengangkat objek itu,
Pak Amad membelek-belek objek itu . Diperhatikan secara  terperinci pada setiap bahagian objek tersebut.

 “Benda apa ini ? Tidak pernah aku melihatnya. Bentuknya seakan-akan teko tetapi ukirannya sungguh asing . Tidak seperti teko biasa.”

Pak Amad memandang ke langit sambil mengusap-usap janggutnya buat seketika. Kemudian hati Pak Amad berbisik .

“Boleh jadi ini merupakan sebuah teko ajaib!”

Pak Amad tersenyum lebar hingga menampakkan gusinya yang hitam. Batang rokok yang sedari tadi tersisip di mulutnya itu lantas di balingnya ke laut.

“Aku pernah dengar daripada orang lama mengenai kisah teko ajaib ini. Di dalamnya terdapat jin yang mampu menunaikan segala hajat. Tidak aku sangka baik sungguh nasib aku hari ini. Mungkin berkat aku mandi pagi tadi.”

Tanpa melengahkan masa, Pak Amad mengusap-usap pantas teko itu. Kemudian menanti seketika. Namun tiada apa-apa yang berlaku. Pak Amad melepaskan nafas lemah.

“Tidak mengapa, biar aku cuba sekali lagi. Mungkin aku perlu mengunakan tangan kanan.”

Kali ini, Pak Amad menggosok-gosok perlahan menggunakan tangan kanannya. Tiba-tiba, teko itu bergerak-gerak sedikit. Pak Amad tersentak lalu terlepas teko itu dari tangannya.

Teko itu bergolek dan berhenti di kaki Pak Amad. Kemudian teko itu bergoyang-goyang lagi. Kali ini dengan gerakan yang lebih kuat. Pak Amad terus berteriak.

“Keluarlah kau wahai jin. Usah kau malu-malu. Aku hanya seorang tua yang tiada apa-apa pangkat, darjat mahupun harta. Keluarlah agar kau mampu menunaikan hasrat aku ini.”

Kemudian terdengar bunyi seperti bunyi gemerincing. Pak amad melihat tutup teko itu sudah terbuka. Dada Pak Amad naik dan turun dengan laju. Matanya terbuka luas. Dengan jelas Pak Amad menyaksikan ada sesuatu yang bergerak keluar dari teko itu dengan perlahan.

“Segeralah keluar wahai jin. Sudah tidak sabar aku ingin melihat kamu wahai jin. Berdebar-debar sungguh hati aku.”

Akhirnya, keluarlah makhluk yang mendiami teko itu bersama bunyi seakan-akan sudu yang berlaga. Sejurus sahaja melihat makhluk itu,Pak Amad lantas jatuh terduduk di hadapan teko ajaib itu. Dia menepuk dahinya berkali-kali.

“Ketam rupanya. Ingat anak jin tadi. Hancur segala harapan aku. Buang masa aku sahaja.”

Pak Amat mengekori pergerakan ketam itu dengan matanya. Pandangan Pak Amad kemudian teralih pada bawah tutup teko itu. Terdapat tulisan yang agak kabur akibat ditutup lumut. Diambil lalu dibersihkan Pak Amad. Terkedip-kedip mata Pak Amad cuba membaca tulisan itu.

“Made in China.”

Terus sahaja Pak Amad membaling tutup teko itu ke laut. Lantas menghentak-hentakan kakinya. Kemudian Pak Amad bangun dan terus menyepak teko itu. Bergolek-golek teko itu dibuatnya. Tiba-tiba, terkeluar segulung kertas dari dalam teko tersebut. Pak Amad mengambil gulungan kertas itu. Hatinya berbisik

“Ini kertas apa. Barangkali peta harta karun. Tidak sangka aku masih lagi ada harapan.”

Dengan cermat Pak Amad membuka gulungan kertas itu. Terdapat tulisan pada helaian kertas tersebut. Pak Amad terus membaca ayat yang tertera itu.

“Barang siapa yang selalu memohon ampun kepada Allah,  nescaya Allah akan membukakan untuknya pintu rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.”

Sekali lagi Pak Amad terduduk. Matanya memandang lantai sampanya itu. Dilihatnya urat-urat kayu pada sampannya yang usang itu. Kemudian dilihatnya pula pada kulit lengannya yang sudah berkedut seribu itu.

Sambil menitiskan air matanya. Pak Amad mengangkat pandangannya ke langit lalu berbicara.

“Terima kasih ya Allah kerana telah memberikan aku nasihat dengan cara yang tidak disangka-sangka. Baru kini aku sedar bahawa telah lama aku melupai-Mu. Terima kasih ya Allah.Terima kasih ya Allah”

1 comment:

Anonymous said...

Syukran Jazakallah cerpenya. izin untuk share.