Wednesday, October 10, 2012

MUHASABAH : Antara Semalam dan Hari Ini



Agama Islam merupakan rahmat untuk seluruh alam . Apabila Allah mengutuskan nabi Muhammad s.a.w dan diturunkan bersama baginda kitab suci Al-Quran , di tengah-tengah masyarakat yang dalam keadaan yang sangat teruk , yang mana cukup banyak jika disebut satu persatu . Akan tetapi , akhirnya  baginda telah berjaya membina sebuah generasi  berpandukan manhaj qurani iaitu generasi para sahabat r.a. Itulah sifat agama Islam . Al-Quran itu sifatnya memberi hidayah . Maka dari celah limpahan lumpur yang hanyir itu , muncul mutiara-mutiara baru yang menjadi ruh mengembalikan ummat manusia kepada kesejahteraan. Hasil dari tarbiyyah Ilahiah berpandukan manhaj Quran .

Islam semakin hari semakin meningkat naik.Bilangan penganutnya semakin bertambah.Semakin ramai yang beriman dengan apa yang Islam bawa kerana merasakan selama ini mereka berada di dalam dunia yang penuh kegelapan dan akhirnya Islam datang membawa sinar baru untuk alam ini . Kerana merasakan amanah yang terpikul dibahu mereka , para sahabat merentas pelusuk benua untuk menyampaikan Islam bagi mengeluarkan manusia dari kesesatan kepada kebenaran .

Akhirnya , satu persatu kuasa besar jahiliyyah Berjaya ditumbangkan . Rom yang dahulunya menjadi empayar dunia yang seolah-olah tidak mampu ditundukkan tetapi akhirnya yang tinggal hanyalah binaan-binaan yang menjadi bukti akan kehebatan mereka yang telah hilang . Parsi juga menerima nasib yang sama . Empayar mereka yang begitu gah dengan kisah-kisah kehebatan dan keperwiraannya akhirnya tersungkur di kaki para mujahidin pejuang agama Islam yang ikhlas .

Bersama naiknya Islam , bersama itu juga runtuhnya dua empayar besar dunia iaitu Rom dan Parsi .

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Hari ini ,

Melihat keadaan ummat Islam pada hari ini , seolah-olah sejarah yang gilang gemilang itu hanyalah sekadar kisah dongengan yang menjadi sebutan generasi-generasi terdahulu . Lebih parah lagi apabila sejarah itu digelapkan dan diselewengkan oleh tangan-tangan busuk yang tidak mahu melihat generasi hari ini merasakan kesinambungan perjuangan mereka lalu bangkit sekali lagi .

Sebut sahaja di pelusuk dunia mana pun , di benua arab , di benua eropah , di benua asia , di Russia , di China , di Myanmar , di Iraq..pasti di situ akan kedengaran muslimin ditindas dan diperkotak katikkan . Bagaikan sudah jatuh ditimpa pula tangga , muslimin yang lemah ini boleh lagi berbalah dan bercakaran sesama mereka . Musuh di sekeliling hanya tertawa dan bersorak .



Akhirnya semangat untuk bangkit menjadi luntur . Putus asa di dalam perjuangan menjadi lumrah . Seolah-olah harapan itu sudah tiada untuk melihat agama Islam ini kembali menaungi alam dan mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya .

Kuasa besar dunia pada hari ini seperti Amerika , Britain ,Rusia dan China tanpa segan silu menindas ummat Islam . Muslimin diperlakukan sesuka hati . Darah mereka lebih murah dari haiwan ternakan .
Maruah dan nilai kemanusiaan hancur . Seolah-olah sama seperti keadaan sebelum baginda diutuskan .

-----------------------------------------------------------------------------------------------
Sifirnya jelas namun , hakikatnya bukan mudah .

1. Islam bangkit , segala paksi kebatilan akan terkubur . Islam jatuh , paksi kebatilan bangkit semula .

2. Kita kalah bukan kerana mereka kuat , akan tetapi kerana kita yang lemah . Sejarah telah membuktikan .

3. Hanya system Islam yang mampu menyelesaikan masalah manusia . Segala sistem yang dicipta manusia pasti penuh dengan kecacatan dan kelemahan .  

4. Pertembungan di dunia ini hanya antara dua , kebenaran dan kebatilan . Dan pertembungan ini sentiasa berlaku dan akan terus berlaku .

5. “Ummat hari ini tidak akan mampu bangkit kecuali dengan cara sebagaimana ummat terdahulu bangkit” .

6. Musuh Islam yang terancang mampu menewaskan orang Islam yang tidak terancang . Rasulullah sendiri terancang dalam segala tindak tanduk baginda .
-----------------------------------------------------------------------------------------------


Kesimpulannya , tanamkan dalam diri setiap kita bahawa suatu hari nanti kitalah yang akan mentadbir alam ini . Kita lah yang akan mengeluarkan manusia dari segala masalah dan konfliks yang ada .  Dari kegelapan kepada cahaya . Kitalah yang akan mengambil alih tempat yang hari ini diduduki oleh Amerika dan kuasa-kuasa dunia sekarang . Kita bukan orang lain .

Bagaimana ? Dengan cara sebagaimana Rasulullah s.a.w. dan para sahabat buktikan. Juga seperti yang dilakukan oleh salafussoleh seperti Salahuddin Al-Ayubi , Sultan Muhammad Al-Fateh , Saifuddin Qutuz dan banyak lagi tokoh-tokoh kebangkitan Islam yang lain . Juga tokoh-tokoh Islam era baru seperti Hassan Al-Banna , Syed Qutb , Abu A’la Al-Maududi dan ramai lagi yang berusaha mengembalikan Islam pada kedudukannya .

Apakah caranya ?

Dengan mengembalikan masyarakat muslim kepada manhaj Al-Quran dan Sunnah itu sendiri . Menghidupkan semula roh Islam dalam jiwa-jiwa ummat dan memberi nafas baru pada kefahaman Islam yang syumul . Dengan Tarbiyyah .



Anda sebenarnya adalah  roh baru yang mengalir di dalam jiwa umat dan dihidupkan dengan al Quran. Dan cahaya baru yang akan memadamkan kezalimam buat selamanya dengan ma’raifatullah. Anda adalah suatu suara yang bergema tinggi melaungkan dakwah Rasulullah saw. Tidak keterlaluan jika anda merasai bahawa anda adalah penanggung beban kenabian setelah kesemua manusia enggan melakukakannya.” – Imam As-Syahid Hassan Al-Banna ( Risalah ta’lim,Antara Semalam dan Hari Ini )

Ketahuilah bahawa jalan ini sangat panjang dan jalan ini tidak dihamparkan dengan karpet merah.Dan ketahuilah bahawa tiada jalan lain melainkan jalan ini .

Wallahua'lam

No comments: